Wednesday, 8 January 2014

TARIKAN DI MEDAN NIAGA SATOK




KUCHING - Usianya genap setahun tanggal 1 Januari lepas namun Medan Niaga Satok, pasar moden bernilai RM46.6 juta, dianggar meraih nilai transaksi jualan berjumlah RM57 juta sepanjang 11 bulan beroperasi.

Ikon yang terletak di utara tebing Sungai Sarawak itu dibina menerusi peruntukan kerajaan persekutuan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dengan kerjasama kerajaan negeri, dilengkapi prasarana lebih baik berbanding tapak lama di sekitar Jalan Satok di sini yang diwujudkan sejak 30 tahun lepas.

Pasar itu terkenal dengan jualan hasil hutan serta produk tempatan seperti pucuk midin, kek lapis dan ikan terubuk, menempatkan 1,251 peniaga lama (dari tapak lama) dan baharu dengan pecahan 60 peratus peniaga Bumiputera dan 40 peratus bukan Bumiputera.

Ketika merasmikan Medan Niaga Satok pada 28 Jan 2013, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan tambahan RM13.5 juta daripada kerajaan pusat untuk menambah baik kemudahan di pusat niaga itu.

Pengurus Medan Niaga Satok Abdul Aziz Abdullah berkata menyedari potensi yang boleh ditingkatkan, Fama bakal mewujudkan lapan lagi kemudahan baharu di samping menambah baik kemudahan sedia ada.

"Melalui peruntukan tambahan itu, sejak akhir tahun lepas dan sepanjang tahun ini, lapan kemudahan bakal dibina, manakala kemudahan sedia ada akan dinaik taraf. Lapan komponen itu antaranya ialah membina bumbung pasar minggu, menyediakan set generator, menyiapkan pelindung hujan.

"Fama akan turut menambah baik kemudahan surau, bilik mandi, tandas, menaik taraf kawasan benteng, memasang papan tanda selain menyediakan kawasan letak kereta baharu," katanya dalam satu temuramah bersama Bernama.

Penolong Pengarah Fama Su'udi Arof berkata Medan Niaga Satok berjaya merubah peniaga di pusat niaga itu menjadi usahawan.

"Medan Niaga Satok menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur baik kepada peniaga, kawasan peniagaan yang bersih, dan paling penting memberi peluang kepada peniaga untuk mendaftar perniagaan mereka.

"Di pasar lama, mereka tidak mempunyai lot perniagaan tetap, jadi sukar untuk mendaftar perniagaan dan seterusnya memohon bantuan daripada mana-mana agensi yang berkenaan, jadi anda lihat apa yang telah Medan Niaga Satok sediakan kepada peniaga," katanya.

Su'udi berkata Fama turut berterima kasih kepada peniaga yang memberikan kerjasama baik sepanjang setahun beroperasi.

Abdul Aziz berkata, sebagai ikon Sarawak, Medan Niaga Satok semakin mendapat perhatian pelancong, tidak kira dari dalam atau luar negara, dan sejajar dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2014, Fama akan menggiatkan promosi dengan agensi-agensi pelancongan dalam dan luar negara.

"Saya bertemu seorang pelancong dari England minggu lalu, dia menyatakan keterujaan melihat produk hasil hutan Sarawak yang dijual di Medan Niaga Satok, dan berazam akan menyampaikan 'keistimewaan' pusat niaga ini kepada pengusaha pelancongan di negaranya.

"Pelancong dalam negara pula sentiasa menjadikan Medan Niaga Satok sebagai lokasi wajib singgah apabila berkunjung ke Kuching, jangan terkejut jika anda lihat banyak barangan yang mereka beli di sini," katanya.

Beliau meminta kerjasama semua pihak seperti media massa dan blogger untuk turut sama menghasilkan artikel dan mengambil gambar menarik sekitar Medan Niaga Satok dalam usaha mempromosi pusat niaga itu.  - Bernama

SUMBER

No comments:

Post a Comment