Alhamdulillah

Tuesday 31 December 2019

Refleksi Kendiri 2019

Alhamdulillah di panjatkan kesyukuran ke Hadrat Illahi dengan limpah dan kurniaNYA masih lagi dipinjamkan nyawa dan kesempatan untuk meneruskan kehidupan pada hari ini.

1. Pertama tama sekali kita tahun 2019 merupakan tahun yang sangat mencabar buat diri saya secara peribadi. Terlalu banyak perkara yang berlaku sepanjang tahun di mana ada suka, ada duka, ada tawa, ada tangis. Ada juga perkara atau kejadian yang membanggakan diri, mungkin boleh dikongsikan untuk inspirasi sesiapa sahaja. Tidak kurang kejadian / perkara yang memalukan diri di mana ianya akan memalukan diri sendiri. Perkara yang tidak baik saya rasa tak perlulah kita banggakan kerana ianya akan membuatkan kita seakan merasa bangga dengan kebodohan dan kekhilafan yang telah kita buat. Juga mungkin kita akan rasa berbangga dengan dosa yang kita lakukan. 

2. Mungkin sudah ramai yang mengetahui akan perihal diri ini yang sememangnya telah dicanang dengan sekian lama. Ceritanya bermula sejak 2018 lagi. Apa yang berlaku pada 2018 ? 

3. Sekitar menghampiri pertengahan tahun 2018, saya kononnya telah mempersiapkan diri untuk melanjutkan pengajian setelah berjaya dalam permohonan mendapatkan biasiswa (Hadiah Latihan Persekutuan) Sejak dari keputusan itu diperoleh, saya telah pun memulakan langkah untuk mempersiapkan diri bagi tujuan melanjutkan pelajaran seperti yang telah di perolehi. 

4. Tidak sampai sebulan (Lebih kurang dua minggu) selepas persiapan dan taklimat berkenaan perjalanan untuk melanjutkan pelajaran, saya mendapat satu lagi peluang di mana, saya ditawarkan untuk menjadi Atase Pendidikan di Education Malasyia Perth. Alangkah girangnya pabila apa yang dihajatkan selama lebih enam tahum mengintai dan dua kali mencuba untuk menghantar permohonan (Iklan kekosongan jawatan setiap 2 tahun). 

5. Apakan tidak, peluang yang hadir bak bulan jatuh keriba, bak mendapat durian runtuh. juga bak pungguk yang sudah pun mendapatkan bulan yang ditunggu. Semenjak dari hari itu, persiapan dan kehendak kepada pengisian jawatan yang ditawarkan, saya perhalusi dan saya persiapkan. Tidak mudah untuk mempersiapkan diri untuk ke jawatan yang telah ditawarkan. Berbagai kehendak mere perlu dituruti. semuanya saya penuhi. 

6. Dalam masa yang sama, saya terpaksa memilih diantara dua ini. Samada saya akan teruskan perancangan dengan melanjutkan pengajian, atau meneruskan hajat dengan menerima jawatan di Perth. Sudah tentulah saya memilih jawatan di Perth memandangkan peluang yang ditawarkan sangatlah jarang dan sukar untuk mendapat peluang yang sama. Untuk itu, saya membuat penagguhan (Menghantar surat permohonan menangguh pengajian) ke pihak yang menguruskan. 

7. Menginjak ke penghujung tahun 2018, saya telah pun hampir mempersiapkan persiapan-persiapan akhir di tempat kerja yang lama. Berita tersebar luas dengan cepat. (Berita baik kan). Boleh dikatakan hampir 80% persiapan telah sempurna. Proses peralihan kerja dan jawatan di tempat lama juga berjalan dengan lancar walau dengan hati yang sedih. 

8. Hari berganti hari, menginjak ke tahun yang baru, tahun 2019 pabila masa yang di janjikan hampir tiba, saya mengambil cuti lebih awal, demi bersama keluarga dan berkongsi kegembiraan juga kesyukuran bersama mak di kampung. 

9. Berita yang tidak kuduga akhirnya menjelma di depan mata. Segala proses untuk mengisi jawatan di Education Malaysia (Seluruh Dunia) dihentikan dengan tiba-tiba. saya terpana. saya termenung dengan agak lama, tanpa disedari air mata membasahi pipi. Macam mana saya nak cari perkataan yang paling sesuai agar Mak tak terkejut ? Macam mana nak bagitau kawan-kawan yang saya tak akan ke perth ? 1001 persoalan terus bermain di benak fikiran. 

10. Tkejadian ini memberikan kesan yang sangat sangat mendalam pada diri saya. Adakah saya mangsa keadaan? ketika ini, antara perkara yang bermain di dalam fikiran, macam mana dengan persiapan yang telah saya buat ? siapa yang akan menanggung kerugian saya ? boleh ke saya nak buat tuntutan ? Apa yang saya nak buat dengan segala persiapan yang dah pun saya buat ni ? Sehingga sekarang (Hari terakhir 2019) masih tiada siapa datang kehadapan untuk menjelaskan kepada saya dan kawan-kawan apa yang sedang berlaku. 

11. Saya cuba untuk menjadi positif, tapi,.... bolehkah saya menjadi positif selepas persiapan yang lama dan hampir siap sepenuhnya terhenti tiba tiba ni ? Setelah kejadian ini, saya menjadi murung, saya cuba meminggirkan diri dek kerana malu, dek kerana terkesan yang teramat sangat dengan peristiwa ini. Tiada siapa di sebelah sana mengambil tanggungjawab untuk bertemu dan memperjelaskan keputusan yang tiba tiba ini. 

12. Selama hampir tiga bulan saya menyendiri dan cuba untuk mendapatkan kekuatan. Masih tidak dapat. Rakan sekerja dari Kuching banyak memberi semangat juga mendoakan. 

13. Di satu sudut, saya cuba untuk meletakkan itu bukan rezeki saya. mungkin Perancangan ALLAH yang Maha Kuasa itu, Yang maha Mengetahui itu adalah yang terbaik untuk saya. Saya terima dengan hati yang sangat remuk. 

14. Sedikit demi sedikit saya membuka ruang di dalam diri. Mula menerima hakikat (Sehingga sekarang masih memikirkan akan peristiwa ini) kejadian yang menimpa. Rakan sekerja yang baru juga sangat memahami dan membantu dalam proses mendapatkan "tune" dalam kerja. Alhamdulillah saat yang sukar dalam tahun 2019 banyak mengajar erti pengorbanan, Erti kesabaran, Erti teman, rakan, dan sahabat. 

15. Kepada yang mengenali dan mengetahui akan perihal ini, mereka bersimpati. dan juga yang baru mengetahui akan perihal kisah saya, mereka turut serta dalam emosi saya. sehingga ke pertengahan tahun 2019, saya tak dapat nak mendengar perkataan Australia, apatah lagi Perth, terus akan teringat akan hal ini dan membuatkan saya sebak dan menitiskan air mata. Kenapa ? susah untuk menjelaskan perkara ini. tapi,... itulah apa yang saya rasa. 

16. Sehingga kehari ini, Harapan dan impian ke arah itu masih jelas. Akan saya cuba sekali lagi jika di buka peluang untuk permohonan ke sana. Saya tidak serik. saya tidak takut. 

17. Saya juga tidak mengharapkan belas kasihan sesiapa. saya berjuang seorang diri, kemanisan dan kepahitan itu saya rasa sendiri. 

18. Ada ke yang nak bawa saya jalan-jalan ? Dating ke  ? Menjamu mata ke? Sekarang saya belajar untuk senyum dan ketawa disebalik luka yang masih berdarah.

19. Tahun baru seakan taboo buat diri saya. Saya takut jika peralihan tahun akan terus memberikan kesan dan impak yang sangat besar seperti berita ini kepada diri saya.

20. kesimpulannya, tahun 2019, saya terlepas peluang menyambung pengajian (Selepas berjaya setelah empat kali memohon) dan juga terlepas Atase Pendidikan di Education Malaysia Perth.



Monday 30 December 2019

wakaf vs sedekah





Soalan
Assalamulaikum SS Mufti. saya kurang jelas pengertian wakaf yang sebenar. Dan adakah wakaf sama dengan sedekah yang lain atau ia ada keistimewaan yang khusus. mohon penjelasan.

Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Istilah wakaf dari segi bahasa bermaksud berhenti (السكن), menegah (المنع) dan menahan (الحبس). (Lihat Lisan al-‘Arab, 9/359) Dari segi istilah, wakaf adalah menahan benda agar tidak dimiliki serta agar manfaatnya boleh disedekahkan. Maka jadilah pemilikan harta tersebut beralih kepada pemilikan Allah SWT. (Lihat al-Ta’rifat, 1/85)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW telah bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ : إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya“Apabila matinya seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu: sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.”
Al-Khatib al-Syarbini berkata: Ulama telah mentafsirkan perkataan ‘sedekah jariah’ dalam hadis yang tersebut di atas itu dengan maksud wakaf, sepertimana kata Imam al-Rafi’i. Hal ini kerana pahala sedekah jariah terus menerus mengalir kepada orang yang melakukannya, sedangkan sedekah yang lain, pahalanya tidak berterusan mengalir sepertimana sedekah amal jariah atau wakaf. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 10/87)
Para ulama telah mengemukakan pengertian wakaf dengan jelas, antaranya:
  • Ibn Hajar al-Haitami menyebut takrif wakaf sebagai:
حَبْسُ مَالٍ يُمْكِنُ الِانْتِفَاعُ بِهِ مَعَ بَقَاءِ عَيْنِهِ بِقَطْعِ التَّصَرُّفِ فِي رَقَبَتِهِ عَلَى مَصْرِفٍ مُبَاحٍ
Maksudnya: “Menahan harta yang mungkin boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak kepemilikan atas harta tersebut, dan dialihkan untuk kepentingan-kepentingan yang dibolehkan.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 25/307)
  • Ibnu Qudamah mendefinisikan wakaf sebagai:
تَحْبِيسُ الْأَصْلِ ، وَتَسْبِيلُ الثَّمَرَةِ
Maksudnya: “Menahan pokok (zat harta) dan menyedekahkah buah (hasil)” (Lihat al-Mughni, 12/175)
  • Sayyid Sabiq menyebut wakaf ialah menahan benda yang menjadi milik pewaqaf dan menyedekahkan manfaatnya di jalan Allah SWT. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 3/515)
  • Wahbah al-Zuhayli menyebut, wakaf ialah menahan harta benda yang kekal zatnya serta boleh dimanfaatkan bagi tujuan kebajikan dan ia diserahkan kepada pihak yang telah ditentukan dengan harapan ia dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. (al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 8/155)
Berdasarkan apa yang dinyatakan di atas, dapat difahami bahawa wakaf diertikan sebagai satu amalan dengan menyerahkan sebahagian harta dimiliki untuk dimanfaatkan oleh masyarakat bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Wakaf memutuskan segala bentuk hak dan penguasaan pewakaf ke atas harta yang diwakafkan.
Orang yang mewakafkan hartanya akan diganjarkan pahala yang berkekalan dan berpanjangan selama mana harta wakaf itu masih ada dan terus dimanfaatkan atau tidak musnah.
Hal ini sudah tentu berbeza dengan sedekah-sedekah yang lain. Sebagai contoh, seseorang mewakafkan RM10 untuk pembinaan masjid. Maka, selagimana masjid itu kekal berada di situ, maka selagi itu pahala akan mengalir kepada pewakaf insha Allah. Manakala, contoh sedekah ialah seperti seseorang menyedekahkan RM10 kepada peminta sedekah. Duit RM10 tersebut kemudian akan digunakan untuk membeli makanan. Setelah makanan tersebut habis dimakan, maka pahala sedekah hanya setakat di situ.
Oleh itu, di samping melakukan sedekah-sedekah yang lain, marilah merebut peluang untuk berwakaf sama ada dalam bentuk wang tunai, aset dan sebagainya.
Semoga Allah SWT memberikan ilmu dan kefahaman yang tepat agar kita dapat membuat persiapan dengan sebaik-baiknya demi keuntungan kehidupan Akhirat yang kekal abadi. Amin.

Tuesday 24 December 2019

ASB 5.5

Hasil carian imej untuk asb 5.5

Sebaik berita pengagihan pendapatan ASB 2019 diumumkan, ramai yang tak senang duduk, ramai yang gelisah, ramai yang kecewa, marah, dan macam-macam jenis perasaan. Yang memang kaki Labur, mereka akan kecewa dengan keputusan ini, di mana ianya bukanlah prestasi terbaik yang ditunjukkan oleh ASB. ASB boleh buat lebih baik dari ini. ada juga yang hadir dengan spekulasi dan teori yang macam-macam. apa pun, ia telah pun diputuskan dan terpulang kepada kita sebagai pelabur untuk menentukan kemanakah kita akan melaburkan duit yang kita ada selepas ini.

Mungkin kah akan terjadi lagi seperti yang berlaku pada Tabung Haji sebelum ini? ramai orang mula mengeluarkan wang pelaburan mereka dan melaburkan ke tempat yang lain? adakah akan berlaku pengeluaran panik dalam pasaran ? semua ini tidak dapat di nafikan dek kerana tertekan dengan kelemahan ekonomi pada masa sekarang. orang ramai akan mula mencari alternatif lain untuk meletekkan wang harapan merka agar mendapatkan keuntungan yang maksimum.

Bagi yang melabur ASB menggunakan wang orang lain (Pinjaman ASB) yang banyak di tawarkan oleh bank bank komersial di Malaysia, mereka akan mendongak kelangit dan mula menghitung berapakah wang dari poket terpaksa dikeluarkan demi menambah defisit dari keuntungan pelaburan yang mereka dapati. Kenapa ? Sebab interest yang dikenakan terhadap pinjaman tersebut mungkin dari range 5.0% ke 6.5% atau mungkin lebih lagi. terdapat perbezaan -1.5%  dari keuntungan yang akan diperolehi. Jadi, keuntungan sudah semestilah tidak akan melebihi dari wang ansuran yang dikenakan kepada pelabur.

Apakah tindakan dari pelabur yang seperti ini pula ? Adakah mereka akan mengetuk pintu bank dan meminta Bank untuk mengurangkan kadar interest mereka? Jika ini dilakukan, di Pihak Bank, mereka akan mengurangkan keuntungan yang akan mereka perolehi. Akan tetapi, adakah wajar pihak Bank untuk menurunkan kadar interest mereka sedangkan pelaburan ini merupakan sesuatu yang tidak pasti ? (Belum tentu dan tidak di janjikan keuntungan kepada pelabur) ?

Di satu sudut lain, adakah sudah sampai masanya pelabur pinjaman ASB ini untuk menghentikan terus pembiayaan mereka agar mereka dapat mengatur semula kewangan mereka ? Perkara ini boleh dilakukan dan ada kemungkinan untuk mereka menghentikan pelaburan ini. Dan akan mencari pelaburan yang lain yang dirasakan akan menjana keuntungan yang lebih dari pelaburan ASB ini.

Bagi pelabur konvensional yang menggunakan wang simpanan sendiri dan melabur secara konsisten atau tidak konsisten setiap bulan, mereka cuma merasakan ianya adalah satu pelaburan yang keuntungannya sedikit berkurangan (Jika dilihat dari rekod). Mereka ini tidak terjejas secara langsung dan berkemungkinan besar akan terus melaburkan wang mereka di ASB. Tindakan duduk dan lihat akan berlaku disini.

Bagi yang baru mencari tempat untuk melaburkan wang mereka, mereka akan mengalami kejutan di mana, "Projected" keuntungan tidak seperti yang diharapkan. Bagi orang melayu di malaysia, ASB adalah lubuk untuk mereka melaburkan wang dan menunggu untuk di keluarkan keuntungan demi perbelanjaan pada awal tahun yang kebiasaannya akan naik mendadak.

Sebagai pemerhati, kita hanya mampu melihat dan memberikan komen dari jauh, memandangkan kita tidak mempunyai kuasa di dalam ASB untuk melaksanakan apa-apa perubahan. Biarlah kebijakan yang ada di dalam pengurusan ASB untuk menentukan kemana halatuju wang pelaburan yang telah pun di amanahkan kepada mereka.

Jika ada salah tadbir di dalam pengurusan pun, hanya mereka yang berada di dalam sahaja yang akan mengetahui apakah yang sedang berlaku. Kita hanya mampu mendoakan mereka yang tidak amanah akan diberikan hidayah dan petunjuk OlehNya. dan perangai yang tidak amanah ini akhirnya akan memakan diri mereka sendiri juga (Terciduk)

wallahuaklam....

-adios-

Teks Opening Moderator Online Webinar "Social Enterpreneurship"

  Bismillahirrahman  Arrahim,  Yang Berusaha,  Ketua Unit Keusahawanan Politeknik Muadzam Shah,  Ketua Jabatan Perdagangan,  Puan Junaida bi...