Alhamdulillah

Tuesday, 19 July 2022

Teks Opening Moderator Online Webinar "Social Enterpreneurship"

 Bismillahirrahman  Arrahim, 

Yang Berusaha, 


Ketua Unit Keusahawanan Politeknik Muadzam Shah, 


Ketua Jabatan Perdagangan, 


Puan Junaida binti Abdul Aziz, PHF, 

Konsultan Kanan dan Tenaga Pengajar, 

Webinar Social Entrepreneurship, 


Yang dihormati, 

Barisan Penyelaras Unit Keusahawanan , Politeknik Muadzam Shah, 


Pensyarah Pensyarah Utama, 

Pensyarah Pensyarah Kanan

Seterusnya barisan pensyarah Politeknik Muadzam Shah sekalian, 



Alhamdulillah wa syukrulillah, Pada pagi ini kita di himpunkan dalam platform Ms Teams, dan dalam situasi di mana pensyarah sekalian masih bergelut dengan menyiapkan penilaian akhir pelajar pada semester ini. In Sya ALLAH, kita sulamkan masa senggang yang ada bagi meredakan seketika apa yang terit, yang sedang cuba untuk di leraikan dalam fikiran masing masing dengan hadir ke Majlis Ilmu ini. 


Social Entrepreneurship mungkin bukanlah suatu yang ganjil dan asing bagi kita, Cuma mungkin pendedahan yang kurang juga dek keterbatasan pelbagai alasan menjadikan kita kurang jelas (Mungkin) tentang apakah yang dikatakan sebagai Social Entrepreneurship itu sendiri. 


Untuk pengetahuan semua hadirin, Link atau Pautan Kehadiran akan di tampal di ruangan chat bagi merekod kehadiran tuan tuan dan puan puan sekalian.


Dalam webinar ini, Dengan Izin Allah, kita akan di sajikan dengan Asas Keusahawanan Sosial. 

Seperti mana pada asasnya, platform majlis ilmu sebegini jika di iringi dengan niat yang ikhlas dan niatkan ibadah dalam menuntut ilmu, InsyaALLAH akan ada Ganjaran dari Nya. 


Sebelum kita meneruskan Sesi Webinar ini, marilah kita bersama sama menadah tangan mengaminkan doa yang akan di bacakan 




Amin amin ya rabbal alamin…. 


Hadirin, warga politeknik Muadzam Shah Sekalian, 

Sebelum saya menyerahkan pentas ini kepada puan penceramah kita pada hari ini, Suka untuk saya membacakan serba sedikit (Tak semua, yer, kalau ada yang terkurang atau tersalah dalam pemberitahuan, mohon untuk di perbetulkan. Terima Kasih. 


Baik, 


Kain Selusuh membalut suri,

Menambah kasih mengikat seri, 

Junaida Abd Aziz Nama diberi, 

Indah Rupawan Bak Bidadari 


Tebang buluh jauh di bendang, 

Buat lemang perasa Spicy,

Managing Director Jawatan di Sandang

Noble Management & Consultancy 


Teguh asas bukan dek kerana Simen, 

Bukan juga dek Besi di Paksi

Wanita hebat, ibarat iron Women, 

Kesana Kesini Menabur Bakti


Tegap tepak diatas pelaminan, 

Tampak elok di kanan dan Kiri,

Local dan Global Gelanggang permainan, 

Heroin sebenar munculkanlah diri  


Hadirin Warga Politeknik Muadzam Shah Sekalian, 

Saya serahkan pentas ini kepada Puan Junaida Binti Abdul Aziz, Dipersilakan. 


Tuesday, 7 July 2020

Pantun Minta Maaf

Bulan Mengambang Bintang Bekerlipan,
Punggok Menangis RIndukan Teman,
Andai Menyinggung Tersilap Perlakuan,
Ku Pohon Maaf Darimu Tuan.

Setandan Pisang Dalam Peti
Hilang Lesap Di Bawa Pergi
Sungguh menyesal rasa di hati
Saya Berjanji tak buat Lagi

Mohon Maaf Seribu Kali
Semoga Tuan Panjang Usia
Orang Pemaaf Allah Berkati
Dipandang tinggi dan Mulia

Orang Pemaaf Allah Berkati
Dipandang tinggi dan Mulia
Itulah Amalan Sungguh Pekerti
Semoga kekal serta Bahagia

Sumber : SINI


Friday, 10 January 2020

MITOS TENTANG LARIAN/JOGGING UNTUK MEREKA YANG BARU NAK BERMULA

MITOS TENTANG LARIAN/JOGGING UNTUK MEREKA YANG  BARU NAK BERMULA

Sukan larian semakin mendapat tempat dalam masyarakat kita. Event pun makin banyak tak macam dulu. Tapi saya perasan ada beberapa salah faham tentang sukan ini sendiri

1. Berlari ni kena laju. Saya tak boleh lari laju

Kita kena beza antara berlari atau berjogging dengan lari pecut. Yang kita nampak lari macam pelesit tu lari pecut, kalau mula berlari tak perlu laju macam usain bolt, laju macam mo farah pun tak payah, cuba mulakan dengan berjalan kemudian cepatkan sedikit langkah. Ha! dah lari lah tu

2. Saya tak mampu lari tanpa henti. Saya lari sekejap lepas tu berhenti.

Ok lah tu, percaya tak orang yang lari full marathon (42km) atau ultramarathon (50-100km) but sekejap berlari sekejap berjalan. Tak pernah jadi berdosa kalau anda selang lari dengan jalan. Siap ada nama lagi teknik ni. Kita panggil teknik Josh Galloway. Jangan tak percaya ada orang pernah menang event marathon guna teknik ni.

3. Saya lari sikit je dah tercunggap-cunggap

Itu tandanya anda lari terlalu laju. Lari dalam keadaan anda boleh bersembang dengan kawan sebelah. Kalau anda rasa tercunggap-cunggap perlahankan kelajuan.

4. Macam mana lah saya nak masuk 5km? 500m pun saya tak mampu nak lari.

Untuk permulaan lupakan jarak ini semua. Kalau nampak orang lain tunjuk dia lari jauh-jauh pedulikan semua itu. Mulakan dengan jumlah masa. Minggu ini saya dapat lari sebanyak 30 minit, 2 minggu lagi saya dapat lari 45 minit. Jarak itu akan datang sendiri bila stamina anda meningkat

5. Saya tak mampu nak beli jam lari gps mahal-mahal macam semua orang.

Untuk orang yang baru berlari jam gps adalah satu kemewahan berbanding keperluan. Jam beli dekat pasar malam pun dah cukup untuk dah berapa lama anda dah lari. Lepas itu pastikan anda lari tak tercunggap-cunggap. Cukuplah tu

6. Saya tengok semua beli kasut canggih-canggih. Saya beli kasut murah waktu diskaun ok ke?

Ok sangat. Kasut yang sesuai bukanlah kasut yang mahal tetapi kasut yang sesuai dengan kaki anda. Kasut yang mahal tapi masih menyebabkan kecederaan pun tak berguna juga. Lagi satu dah ada kasut, stokin, seluar dan baju lari mahal bukan bermakna anda terlepas dalam melecet dan lelasan di lipatan, kalau ini selalu berlaku sapukan vaseline di bahagian tersebut sebelum berlari.

7. Saya gemuk/ tua. Saya tak mampu lari. Orang kurus/muda bolehlah lari. Diorang kuat stamina

Saya banyak kali berlari dan tiba-tiba ada orang yang badan lagi besar atau ada uncle/auntie yang lagi tua potong saya. Yakin dengan diri sendiri. Stamina itu boleh dilatih. Tapi kalau orang tua yang ada kencing manis/darah tinggi kena periksa dulu dengan doktor, kena pastikan janting tiada masalah sebelum berlari.

Ini dulu saya sertakan. Untuk kebanyakan masyarakat, kita mula berlari asalnya adalah untuk kesihatan jadi tak perlu kita disibukkan dengan perkara-perkara yang tidak perlu. Larian yang sihat adalah larian dalam kadar yang sederhana tanpa risiko kecederaan. Nanti bila dah lama berlari anda nak cari keseronokan lain pula seperti pace/endurance. Itu cerita lain pula.

Nikmatilah larian anda seadanya. Pastikan anda sentiasa sihat dan elakkan kecederaan.

Dr Fadly Khairie
Marathoner anda
Doktor Kesihatan Awam
Medical Mythbusters Malaysia

Wednesday, 1 January 2020

Lapor diri (Twisted)

1. Kenapa dengan lapor diri aku? Apa dah jadi?.... kalau sebelum ni aku dok meroyan kata tak sabar nak meninggalkan Kuching dan mungkin juga aku meluahkan perasaan katanya aku susah nak lupakan kawan-kawan dan kenangan yang ada kat Kuching. Tapi bila tiba pada tarikhnya,.... tragedi itu pun berlaku....

2. Aku tak pasti samada aku boleh nak ceritakan secara detail apa yang berlaku atau tidak.... aku risau akan menjejaskan reputasi atau nama baik orang orang yang tak bersalah dalam hal ini.aku sepatutnya dijadualkan melapor diri ke Putrajaya pada bulan Februari.... segala persiapan untuk menuju ke tarikh itu, aku persiapkan dengan teliti dan gigih... tak senang rupanya... tahap stres sangat sangat tinggi

3. Dua hari sebelum melapor diri, (4hari kot) dan pada ketika itu, aku dah pun terbang ke kampung halaman dari Kuching dengan harapan dan persediaan yang cukup rapi aku rasa. Aku telah mempersiapkan hotel tempat tinggal ketika lapor diri dan sebelum memulakan kursus yang dijadualkan akan bermula pada awal Mac. Semua perbelanjaan telah pun di buat menggunakan wang sendiri. Hada hari Jumaat, lepas waktu pejabat aku dapat satu e-mail mengatakan aku tak perlu untuk melapor diri.

4. Bilamana aku dapat e-mail ini, dalam masa yang sama persiapan aku dari Kuching sudah sempurna di laksanakan. Barang barang dari rumah sewa aku dah kemas dan kargo pun dah ambil barang barang untuk di hantar ke Pahang, termasuk kereta aku. Jawatan aku kat sana pun dan ada yang akan isi,... majlis perpisahan dari jabatan, dari koperasi, dari anak didik askar, dan kawan kawan rapat semua setel.

5. E-mail yang aku terima ini aku anggap macam bom. Ia tiba pada masa yang sangat tak sesuai.... boleh dikatakan persiapan yang hampir selesai... atau 90% persiapan telah di buat dan perbelanjaan wang ringgit yang dikeluarkan juga bukan lah sedikit.... emosi yang dikeluarkan juga tak dapat nak digambarkan.... berita dan perkhabaran juga boleh dikatakan telah tersebar seantero alam. Aku terduduk, aku terdiam, lidah aku kelu, aku malu, aku marah, aku kecewa, aku rasa tertipu, aku rasa seperti dihina, aku rasa ini adalah prank, aku tertekan, aku tak tahu apa nak dibuat, aku rasa seperti aku bukan aku.... aku seperti dikuasai oleh satu kuasa lain.

6. AKu cuba mententeramkan diri, aku menangis yang tak tahu sebab apa. Aku cuba mengadu nasib untuk tidak kembali ke Kuching. Aku tak nak kalau aku balik Kuching, aku perlu mula dari awal semula.... kena cari rumah dengan kadar yang baru, perlu bawa semula kereta ke Kuching dengan belanja sendiri, kena masuk jabatan semula untuk mengajar, perlu menjadi penglipur lara membawa berita kenapa aku kena patah balik ke Kuching... aku tak sanggup untuk menghadapi tu semua... percubaan aku berhasil, aku ditempatkan di Politeknik Muadzam Shah, 3 jam dari jengka.

8. Aku melapor diri ke PMS pada awal Mac, aku yang sepatutnya melapor diri di Putrajaya, pada akhirnya aku melapor diri di PMS.... disini aku belum menemui diri aku yang sebenar. Aku masih terkesan dengan berita yang aku tak jadi pergi Australia. Kawan kawan dari Kuching banyak bagi sokongan moral, aku cuba ambil yang apa yang baik, aku cuba menjadi seorang pendidik semula,... yang akan aku ceritakan episod aku di PMS pada masa akan datang.

9. Hanya kami (Atase atase tak jadi) yang aku rasa faham keadaan kami. Lebih terkesan kepada mereka yang telah berkeluarga. Perancangan mereka lebih detail, perbelanjaan persediaan mereka lebih banyak, emosi mereka diserang dari pelbagai arah. Paling tidak aku tidaklah seteruk mereka.

10. Pada akhirnya, untuk menenangkan diri, aku berkata pada diri sendiri, kita sebagai manusia hanya mampu untuk merancang,tuhan itu adalah sebaik baik perancang. Dan disebalik kejadian ini, kami mengharapkan tuhan telah menyediakan sesuatunya yang lebih baik buat kami....

Sekian....

Tuesday, 31 December 2019

Refleksi Kendiri 2019

Alhamdulillah di panjatkan kesyukuran ke Hadrat Illahi dengan limpah dan kurniaNYA masih lagi dipinjamkan nyawa dan kesempatan untuk meneruskan kehidupan pada hari ini.

1. Pertama tama sekali kita tahun 2019 merupakan tahun yang sangat mencabar buat diri saya secara peribadi. Terlalu banyak perkara yang berlaku sepanjang tahun di mana ada suka, ada duka, ada tawa, ada tangis. Ada juga perkara atau kejadian yang membanggakan diri, mungkin boleh dikongsikan untuk inspirasi sesiapa sahaja. Tidak kurang kejadian / perkara yang memalukan diri di mana ianya akan memalukan diri sendiri. Perkara yang tidak baik saya rasa tak perlulah kita banggakan kerana ianya akan membuatkan kita seakan merasa bangga dengan kebodohan dan kekhilafan yang telah kita buat. Juga mungkin kita akan rasa berbangga dengan dosa yang kita lakukan. 

2. Mungkin sudah ramai yang mengetahui akan perihal diri ini yang sememangnya telah dicanang dengan sekian lama. Ceritanya bermula sejak 2018 lagi. Apa yang berlaku pada 2018 ? 

3. Sekitar menghampiri pertengahan tahun 2018, saya kononnya telah mempersiapkan diri untuk melanjutkan pengajian setelah berjaya dalam permohonan mendapatkan biasiswa (Hadiah Latihan Persekutuan) Sejak dari keputusan itu diperoleh, saya telah pun memulakan langkah untuk mempersiapkan diri bagi tujuan melanjutkan pelajaran seperti yang telah di perolehi. 

4. Tidak sampai sebulan (Lebih kurang dua minggu) selepas persiapan dan taklimat berkenaan perjalanan untuk melanjutkan pelajaran, saya mendapat satu lagi peluang di mana, saya ditawarkan untuk menjadi Atase Pendidikan di Education Malasyia Perth. Alangkah girangnya pabila apa yang dihajatkan selama lebih enam tahum mengintai dan dua kali mencuba untuk menghantar permohonan (Iklan kekosongan jawatan setiap 2 tahun). 

5. Apakan tidak, peluang yang hadir bak bulan jatuh keriba, bak mendapat durian runtuh. juga bak pungguk yang sudah pun mendapatkan bulan yang ditunggu. Semenjak dari hari itu, persiapan dan kehendak kepada pengisian jawatan yang ditawarkan, saya perhalusi dan saya persiapkan. Tidak mudah untuk mempersiapkan diri untuk ke jawatan yang telah ditawarkan. Berbagai kehendak mere perlu dituruti. semuanya saya penuhi. 

6. Dalam masa yang sama, saya terpaksa memilih diantara dua ini. Samada saya akan teruskan perancangan dengan melanjutkan pengajian, atau meneruskan hajat dengan menerima jawatan di Perth. Sudah tentulah saya memilih jawatan di Perth memandangkan peluang yang ditawarkan sangatlah jarang dan sukar untuk mendapat peluang yang sama. Untuk itu, saya membuat penagguhan (Menghantar surat permohonan menangguh pengajian) ke pihak yang menguruskan. 

7. Menginjak ke penghujung tahun 2018, saya telah pun hampir mempersiapkan persiapan-persiapan akhir di tempat kerja yang lama. Berita tersebar luas dengan cepat. (Berita baik kan). Boleh dikatakan hampir 80% persiapan telah sempurna. Proses peralihan kerja dan jawatan di tempat lama juga berjalan dengan lancar walau dengan hati yang sedih. 

8. Hari berganti hari, menginjak ke tahun yang baru, tahun 2019 pabila masa yang di janjikan hampir tiba, saya mengambil cuti lebih awal, demi bersama keluarga dan berkongsi kegembiraan juga kesyukuran bersama mak di kampung. 

9. Berita yang tidak kuduga akhirnya menjelma di depan mata. Segala proses untuk mengisi jawatan di Education Malaysia (Seluruh Dunia) dihentikan dengan tiba-tiba. saya terpana. saya termenung dengan agak lama, tanpa disedari air mata membasahi pipi. Macam mana saya nak cari perkataan yang paling sesuai agar Mak tak terkejut ? Macam mana nak bagitau kawan-kawan yang saya tak akan ke perth ? 1001 persoalan terus bermain di benak fikiran. 

10. Tkejadian ini memberikan kesan yang sangat sangat mendalam pada diri saya. Adakah saya mangsa keadaan? ketika ini, antara perkara yang bermain di dalam fikiran, macam mana dengan persiapan yang telah saya buat ? siapa yang akan menanggung kerugian saya ? boleh ke saya nak buat tuntutan ? Apa yang saya nak buat dengan segala persiapan yang dah pun saya buat ni ? Sehingga sekarang (Hari terakhir 2019) masih tiada siapa datang kehadapan untuk menjelaskan kepada saya dan kawan-kawan apa yang sedang berlaku. 

11. Saya cuba untuk menjadi positif, tapi,.... bolehkah saya menjadi positif selepas persiapan yang lama dan hampir siap sepenuhnya terhenti tiba tiba ni ? Setelah kejadian ini, saya menjadi murung, saya cuba meminggirkan diri dek kerana malu, dek kerana terkesan yang teramat sangat dengan peristiwa ini. Tiada siapa di sebelah sana mengambil tanggungjawab untuk bertemu dan memperjelaskan keputusan yang tiba tiba ini. 

12. Selama hampir tiga bulan saya menyendiri dan cuba untuk mendapatkan kekuatan. Masih tidak dapat. Rakan sekerja dari Kuching banyak memberi semangat juga mendoakan. 

13. Di satu sudut, saya cuba untuk meletakkan itu bukan rezeki saya. mungkin Perancangan ALLAH yang Maha Kuasa itu, Yang maha Mengetahui itu adalah yang terbaik untuk saya. Saya terima dengan hati yang sangat remuk. 

14. Sedikit demi sedikit saya membuka ruang di dalam diri. Mula menerima hakikat (Sehingga sekarang masih memikirkan akan peristiwa ini) kejadian yang menimpa. Rakan sekerja yang baru juga sangat memahami dan membantu dalam proses mendapatkan "tune" dalam kerja. Alhamdulillah saat yang sukar dalam tahun 2019 banyak mengajar erti pengorbanan, Erti kesabaran, Erti teman, rakan, dan sahabat. 

15. Kepada yang mengenali dan mengetahui akan perihal ini, mereka bersimpati. dan juga yang baru mengetahui akan perihal kisah saya, mereka turut serta dalam emosi saya. sehingga ke pertengahan tahun 2019, saya tak dapat nak mendengar perkataan Australia, apatah lagi Perth, terus akan teringat akan hal ini dan membuatkan saya sebak dan menitiskan air mata. Kenapa ? susah untuk menjelaskan perkara ini. tapi,... itulah apa yang saya rasa. 

16. Sehingga kehari ini, Harapan dan impian ke arah itu masih jelas. Akan saya cuba sekali lagi jika di buka peluang untuk permohonan ke sana. Saya tidak serik. saya tidak takut. 

17. Saya juga tidak mengharapkan belas kasihan sesiapa. saya berjuang seorang diri, kemanisan dan kepahitan itu saya rasa sendiri. 

18. Ada ke yang nak bawa saya jalan-jalan ? Dating ke  ? Menjamu mata ke? Sekarang saya belajar untuk senyum dan ketawa disebalik luka yang masih berdarah.

19. Tahun baru seakan taboo buat diri saya. Saya takut jika peralihan tahun akan terus memberikan kesan dan impak yang sangat besar seperti berita ini kepada diri saya.

20. kesimpulannya, tahun 2019, saya terlepas peluang menyambung pengajian (Selepas berjaya setelah empat kali memohon) dan juga terlepas Atase Pendidikan di Education Malaysia Perth.



Monday, 30 December 2019

wakaf vs sedekah





Soalan
Assalamulaikum SS Mufti. saya kurang jelas pengertian wakaf yang sebenar. Dan adakah wakaf sama dengan sedekah yang lain atau ia ada keistimewaan yang khusus. mohon penjelasan.

Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Istilah wakaf dari segi bahasa bermaksud berhenti (السكن), menegah (المنع) dan menahan (الحبس). (Lihat Lisan al-‘Arab, 9/359) Dari segi istilah, wakaf adalah menahan benda agar tidak dimiliki serta agar manfaatnya boleh disedekahkan. Maka jadilah pemilikan harta tersebut beralih kepada pemilikan Allah SWT. (Lihat al-Ta’rifat, 1/85)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW telah bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ : إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya“Apabila matinya seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu: sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.”
Al-Khatib al-Syarbini berkata: Ulama telah mentafsirkan perkataan ‘sedekah jariah’ dalam hadis yang tersebut di atas itu dengan maksud wakaf, sepertimana kata Imam al-Rafi’i. Hal ini kerana pahala sedekah jariah terus menerus mengalir kepada orang yang melakukannya, sedangkan sedekah yang lain, pahalanya tidak berterusan mengalir sepertimana sedekah amal jariah atau wakaf. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 10/87)
Para ulama telah mengemukakan pengertian wakaf dengan jelas, antaranya:
  • Ibn Hajar al-Haitami menyebut takrif wakaf sebagai:
حَبْسُ مَالٍ يُمْكِنُ الِانْتِفَاعُ بِهِ مَعَ بَقَاءِ عَيْنِهِ بِقَطْعِ التَّصَرُّفِ فِي رَقَبَتِهِ عَلَى مَصْرِفٍ مُبَاحٍ
Maksudnya: “Menahan harta yang mungkin boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak kepemilikan atas harta tersebut, dan dialihkan untuk kepentingan-kepentingan yang dibolehkan.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 25/307)
  • Ibnu Qudamah mendefinisikan wakaf sebagai:
تَحْبِيسُ الْأَصْلِ ، وَتَسْبِيلُ الثَّمَرَةِ
Maksudnya: “Menahan pokok (zat harta) dan menyedekahkah buah (hasil)” (Lihat al-Mughni, 12/175)
  • Sayyid Sabiq menyebut wakaf ialah menahan benda yang menjadi milik pewaqaf dan menyedekahkan manfaatnya di jalan Allah SWT. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 3/515)
  • Wahbah al-Zuhayli menyebut, wakaf ialah menahan harta benda yang kekal zatnya serta boleh dimanfaatkan bagi tujuan kebajikan dan ia diserahkan kepada pihak yang telah ditentukan dengan harapan ia dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. (al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 8/155)
Berdasarkan apa yang dinyatakan di atas, dapat difahami bahawa wakaf diertikan sebagai satu amalan dengan menyerahkan sebahagian harta dimiliki untuk dimanfaatkan oleh masyarakat bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Wakaf memutuskan segala bentuk hak dan penguasaan pewakaf ke atas harta yang diwakafkan.
Orang yang mewakafkan hartanya akan diganjarkan pahala yang berkekalan dan berpanjangan selama mana harta wakaf itu masih ada dan terus dimanfaatkan atau tidak musnah.
Hal ini sudah tentu berbeza dengan sedekah-sedekah yang lain. Sebagai contoh, seseorang mewakafkan RM10 untuk pembinaan masjid. Maka, selagimana masjid itu kekal berada di situ, maka selagi itu pahala akan mengalir kepada pewakaf insha Allah. Manakala, contoh sedekah ialah seperti seseorang menyedekahkan RM10 kepada peminta sedekah. Duit RM10 tersebut kemudian akan digunakan untuk membeli makanan. Setelah makanan tersebut habis dimakan, maka pahala sedekah hanya setakat di situ.
Oleh itu, di samping melakukan sedekah-sedekah yang lain, marilah merebut peluang untuk berwakaf sama ada dalam bentuk wang tunai, aset dan sebagainya.
Semoga Allah SWT memberikan ilmu dan kefahaman yang tepat agar kita dapat membuat persiapan dengan sebaik-baiknya demi keuntungan kehidupan Akhirat yang kekal abadi. Amin.

Tuesday, 24 December 2019

ASB 5.5

Hasil carian imej untuk asb 5.5

Sebaik berita pengagihan pendapatan ASB 2019 diumumkan, ramai yang tak senang duduk, ramai yang gelisah, ramai yang kecewa, marah, dan macam-macam jenis perasaan. Yang memang kaki Labur, mereka akan kecewa dengan keputusan ini, di mana ianya bukanlah prestasi terbaik yang ditunjukkan oleh ASB. ASB boleh buat lebih baik dari ini. ada juga yang hadir dengan spekulasi dan teori yang macam-macam. apa pun, ia telah pun diputuskan dan terpulang kepada kita sebagai pelabur untuk menentukan kemanakah kita akan melaburkan duit yang kita ada selepas ini.

Mungkin kah akan terjadi lagi seperti yang berlaku pada Tabung Haji sebelum ini? ramai orang mula mengeluarkan wang pelaburan mereka dan melaburkan ke tempat yang lain? adakah akan berlaku pengeluaran panik dalam pasaran ? semua ini tidak dapat di nafikan dek kerana tertekan dengan kelemahan ekonomi pada masa sekarang. orang ramai akan mula mencari alternatif lain untuk meletekkan wang harapan merka agar mendapatkan keuntungan yang maksimum.

Bagi yang melabur ASB menggunakan wang orang lain (Pinjaman ASB) yang banyak di tawarkan oleh bank bank komersial di Malaysia, mereka akan mendongak kelangit dan mula menghitung berapakah wang dari poket terpaksa dikeluarkan demi menambah defisit dari keuntungan pelaburan yang mereka dapati. Kenapa ? Sebab interest yang dikenakan terhadap pinjaman tersebut mungkin dari range 5.0% ke 6.5% atau mungkin lebih lagi. terdapat perbezaan -1.5%  dari keuntungan yang akan diperolehi. Jadi, keuntungan sudah semestilah tidak akan melebihi dari wang ansuran yang dikenakan kepada pelabur.

Apakah tindakan dari pelabur yang seperti ini pula ? Adakah mereka akan mengetuk pintu bank dan meminta Bank untuk mengurangkan kadar interest mereka? Jika ini dilakukan, di Pihak Bank, mereka akan mengurangkan keuntungan yang akan mereka perolehi. Akan tetapi, adakah wajar pihak Bank untuk menurunkan kadar interest mereka sedangkan pelaburan ini merupakan sesuatu yang tidak pasti ? (Belum tentu dan tidak di janjikan keuntungan kepada pelabur) ?

Di satu sudut lain, adakah sudah sampai masanya pelabur pinjaman ASB ini untuk menghentikan terus pembiayaan mereka agar mereka dapat mengatur semula kewangan mereka ? Perkara ini boleh dilakukan dan ada kemungkinan untuk mereka menghentikan pelaburan ini. Dan akan mencari pelaburan yang lain yang dirasakan akan menjana keuntungan yang lebih dari pelaburan ASB ini.

Bagi pelabur konvensional yang menggunakan wang simpanan sendiri dan melabur secara konsisten atau tidak konsisten setiap bulan, mereka cuma merasakan ianya adalah satu pelaburan yang keuntungannya sedikit berkurangan (Jika dilihat dari rekod). Mereka ini tidak terjejas secara langsung dan berkemungkinan besar akan terus melaburkan wang mereka di ASB. Tindakan duduk dan lihat akan berlaku disini.

Bagi yang baru mencari tempat untuk melaburkan wang mereka, mereka akan mengalami kejutan di mana, "Projected" keuntungan tidak seperti yang diharapkan. Bagi orang melayu di malaysia, ASB adalah lubuk untuk mereka melaburkan wang dan menunggu untuk di keluarkan keuntungan demi perbelanjaan pada awal tahun yang kebiasaannya akan naik mendadak.

Sebagai pemerhati, kita hanya mampu melihat dan memberikan komen dari jauh, memandangkan kita tidak mempunyai kuasa di dalam ASB untuk melaksanakan apa-apa perubahan. Biarlah kebijakan yang ada di dalam pengurusan ASB untuk menentukan kemana halatuju wang pelaburan yang telah pun di amanahkan kepada mereka.

Jika ada salah tadbir di dalam pengurusan pun, hanya mereka yang berada di dalam sahaja yang akan mengetahui apakah yang sedang berlaku. Kita hanya mampu mendoakan mereka yang tidak amanah akan diberikan hidayah dan petunjuk OlehNya. dan perangai yang tidak amanah ini akhirnya akan memakan diri mereka sendiri juga (Terciduk)

wallahuaklam....

-adios-

Teks Opening Moderator Online Webinar "Social Enterpreneurship"

  Bismillahirrahman  Arrahim,  Yang Berusaha,  Ketua Unit Keusahawanan Politeknik Muadzam Shah,  Ketua Jabatan Perdagangan,  Puan Junaida bi...