Soalan
Assalamulaikum SS Mufti. saya kurang jelas pengertian wakaf yang sebenar. Dan adakah wakaf sama dengan sedekah yang lain atau ia ada keistimewaan yang khusus. mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Istilah wakaf dari segi bahasa bermaksud berhenti (السكن), menegah (المنع) dan menahan (الحبس). (Lihat Lisan al-‘Arab, 9/359) Dari segi istilah, wakaf adalah menahan benda agar tidak dimiliki serta agar manfaatnya boleh disedekahkan. Maka jadilah pemilikan harta tersebut beralih kepada pemilikan Allah SWT. (Lihat al-Ta’rifat, 1/85)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW telah bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ : إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: “Apabila matinya seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu: sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.”
Al-Khatib al-Syarbini berkata: Ulama telah mentafsirkan perkataan ‘sedekah jariah’ dalam hadis yang tersebut di atas itu dengan maksud wakaf, sepertimana kata Imam al-Rafi’i. Hal ini kerana pahala sedekah jariah terus menerus mengalir kepada orang yang melakukannya, sedangkan sedekah yang lain, pahalanya tidak berterusan mengalir sepertimana sedekah amal jariah atau wakaf. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 10/87)
Para ulama telah mengemukakan pengertian wakaf dengan jelas, antaranya:
- Ibn Hajar al-Haitami menyebut takrif wakaf sebagai:
حَبْسُ مَالٍ يُمْكِنُ الِانْتِفَاعُ بِهِ مَعَ بَقَاءِ عَيْنِهِ بِقَطْعِ التَّصَرُّفِ فِي رَقَبَتِهِ عَلَى مَصْرِفٍ مُبَاحٍ
Maksudnya: “Menahan harta yang mungkin boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak kepemilikan atas harta tersebut, dan dialihkan untuk kepentingan-kepentingan yang dibolehkan.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 25/307)
- Ibnu Qudamah mendefinisikan wakaf sebagai:
تَحْبِيسُ الْأَصْلِ ، وَتَسْبِيلُ الثَّمَرَةِ
Maksudnya: “Menahan pokok (zat harta) dan menyedekahkah buah (hasil)” (Lihat al-Mughni, 12/175)
- Sayyid Sabiq menyebut wakaf ialah menahan benda yang menjadi milik pewaqaf dan menyedekahkan manfaatnya di jalan Allah SWT. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 3/515)
- Wahbah al-Zuhayli menyebut, wakaf ialah menahan harta benda yang kekal zatnya serta boleh dimanfaatkan bagi tujuan kebajikan dan ia diserahkan kepada pihak yang telah ditentukan dengan harapan ia dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. (al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 8/155)
Berdasarkan apa yang dinyatakan di atas, dapat difahami bahawa wakaf diertikan sebagai satu amalan dengan menyerahkan sebahagian harta dimiliki untuk dimanfaatkan oleh masyarakat bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Wakaf memutuskan segala bentuk hak dan penguasaan pewakaf ke atas harta yang diwakafkan.
Orang yang mewakafkan hartanya akan diganjarkan pahala yang berkekalan dan berpanjangan selama mana harta wakaf itu masih ada dan terus dimanfaatkan atau tidak musnah.
Hal ini sudah tentu berbeza dengan sedekah-sedekah yang lain. Sebagai contoh, seseorang mewakafkan RM10 untuk pembinaan masjid. Maka, selagimana masjid itu kekal berada di situ, maka selagi itu pahala akan mengalir kepada pewakaf insha Allah. Manakala, contoh sedekah ialah seperti seseorang menyedekahkan RM10 kepada peminta sedekah. Duit RM10 tersebut kemudian akan digunakan untuk membeli makanan. Setelah makanan tersebut habis dimakan, maka pahala sedekah hanya setakat di situ.
Oleh itu, di samping melakukan sedekah-sedekah yang lain, marilah merebut peluang untuk berwakaf sama ada dalam bentuk wang tunai, aset dan sebagainya.
Semoga Allah SWT memberikan ilmu dan kefahaman yang tepat agar kita dapat membuat persiapan dengan sebaik-baiknya demi keuntungan kehidupan Akhirat yang kekal abadi. Amin.
No comments:
Post a Comment